nuffnang

Wednesday 28 December 2011

Journey 7:

28 Disember 2011, Kok Lanas - Hari ini adalah merupakan hari terakhir aku berada di Kolej Komuniti Kok Lanas. Banyak kenangan selama 8 bulan aku berada di sini.

Di tukarkan dari Kolej Komuniti Gerik pada bulan April 2011. Lima tahun aku di sana. Tempatnya aman dan nyaman. Udaranya bersih, sesekali orang Gerik kirimkan kepada aku ikan kelah, daging rusa, daging kijang dan bermacam buah-buah tempatan. Masyarakatnya hidup dalam penuh hormat menghormati. Sesungguhnya Royal Belum sentiasa berada dekat dihatiku.

Kini aku berhijrah lagi. Tanggal 16 Disember, aku ditukarkan ke Kolej Komuniti Paya Besar. Lapan bulan aku di KK Kok Lanas, jarum jam begitu pantas berpusing. Belum puas rasanya aku berada di KK Kok Lanas. Satu yang pasti, aku dapati staf disini begitu bersemangat untuk berubah. Masing-masing begitu ghairah menonjolkan bakat dan kepimpinan masing-masing. Bertuah aku dapat bersama mereka walaupun dalam jangka waktu yang singkat. Mereka sanggup belajar walaupun menerima tekanan yang begitu berat bagi menjayakan sesuatu yang baru. Mereka dapat melakukan dengan baik sekali jika diberi peluang. Itu sebabnya kita mesti memberi kepercayaan kepada pegawai bawahan kita. Jangan sesekali memperkecilkan kewibawaan mereka.

Kini KK Kok Lanas berada ditempat yang sepatutnya. Orang sudah tidak pandang rendah lagi. Semuanya ini berkat kerjasama semua staf, bekerja tanpa jemu dan banyak kerenah, dan yang penting bekerja kerana ianya merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan pada kita. Bukan bekerja kerana ketuanya ada di pejabat, bukan bekerja kerana untuk dipuji, bukan bekerja kerana adanya habuan, bukan bekerja kerana orang lain.

Harapan ku, ingin melihat KK Kok Lanas terus berkembang pesat, terus maju ke hadapan, terus gah, dan mengeluarkan lulusan yang berkemahiran dan berkualiti. Stafnya juga harus terus berkembang, berkemahiran tinggi dan terus menyokong perubahan yang akan dilaksanakan oleh pengurusan baru. Teruskan perjuangan untuk maju ke hadapan.

KK Paya Besar akan cuba mengorak langkah. Memajukan dirinya untuk bersama mencipta nama. nama yang harum untuk dibanggakan oleh penghuninya.