nuffnang

Tuesday 13 March 2012

Journey 8:
5 Mac 2012 - Saya bersama 25 orang pelajar dan 15 orang staf Kolej Komuniti Paya Besar berpeluang ke Royal Belum bagi menyertai Program Menyelami Khazanah Royal Belum. Program ini dianjurkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak dengan kerjasama Kolej Komuniti Paya Besar.

Melalui program ini, peserta telah dibawa melihat keindahan Royal Belum yang hutannya adalah merupakan hutan yang tertua di dunia. Setiap peserta program diberi peluang merakamkan keindahan alam tersebut dengan kamera masing-masing. Melalui program ini, peserta diterapkan nilai-nilai mencintai alam sekitar kerana alam yang kita diami hari ini merupakan anugerah Tuhan yang tiada nilai harganya. Udara, hutan, air, dan segala yang ada hari ini dipinjamkan kepada kita oleh generasi akan datang. Oleh itu, kita sebagai peminjam perlu menjaganya dengan penuh keinsafan dan hargailah khazanah tersebut.

Selama 3 hari 2 malam kami menyelami khazanah ciptaan Allah. Terasa begitu indah sekali. Udaranya bersih, airnya jernih tanpa kelodak, jauh dari kebisingan, kedamaian dari gangguan deringan talipon, dan malamnya diulik bunyi unggas.

Siangnya kami meredah hutan, pacat menjalar mencari darah orang kota yang penuh dengan toksik. Kami derma darah kepada pacat-pacat tersebut. Rasanya biala keluar dari hutan, darah yang kotor telah dicuci oleh pacat-pacat tersebut. Di penghujung perjalanan kami jumpa air terjun, sejuk dan nyaman sekali. Sesekali kami dapat bermain dengan ikan-ikan yang jinak. Kami jumpa ikan kelah, ikan sebarau dan beberapa spesies ikan yang lain. Kami suap ikan-ikan tersebut dengan makanan yang kami bawa. Satu pengalaman baru bagi kami.

Kami menyusur tasik, melihat burung bertenggek di dahan, terbang bebas tanpa rasa takut atau terpenjara dalam sangkar emas.

Petangnya kami berakit buluh, menimba satu pengalaman bagaimana mengawal rakit agar bergerak ke hadapan dengan hanya menggunakan pendayung buluh. Mengajar kami erti kerjasama dan semangat berpasukan. Mengajar kami erti kepayahan dan ketabahan.

Kami juga berpeluang  melawat rakan lama kami - kaum peribumi yang masih mengamalkan cara hidup tradisi walaupun sudah ada pengaruh kemodenan. Bila lensa kamera menghala ke arah mereka, mereka memberi posing yang setanding dengan model-model terkenal di dunia. Mengingatkan kami pada zaman muda-muda dulu.

Sesungguhnya pengalaman Royal Belum tiada ternilai harganya. Terima kasih kepada Dato Karim dan pegawai-pegawai Royal Belum yang melayan kerenah kami selama kami di Royal Belum. Budi baik kami kenang sampai bila-bila. Gambar-gambar yang dirakamkan menjadi tanda yang kami pernah menyelami khazanah Royal Belum. Satu nama yang menjadi kebanggaan kita semua dan menjadi warisan kita semua.