nuffnang

Wednesday, 28 December 2011

Journey 7:

28 Disember 2011, Kok Lanas - Hari ini adalah merupakan hari terakhir aku berada di Kolej Komuniti Kok Lanas. Banyak kenangan selama 8 bulan aku berada di sini.

Di tukarkan dari Kolej Komuniti Gerik pada bulan April 2011. Lima tahun aku di sana. Tempatnya aman dan nyaman. Udaranya bersih, sesekali orang Gerik kirimkan kepada aku ikan kelah, daging rusa, daging kijang dan bermacam buah-buah tempatan. Masyarakatnya hidup dalam penuh hormat menghormati. Sesungguhnya Royal Belum sentiasa berada dekat dihatiku.

Kini aku berhijrah lagi. Tanggal 16 Disember, aku ditukarkan ke Kolej Komuniti Paya Besar. Lapan bulan aku di KK Kok Lanas, jarum jam begitu pantas berpusing. Belum puas rasanya aku berada di KK Kok Lanas. Satu yang pasti, aku dapati staf disini begitu bersemangat untuk berubah. Masing-masing begitu ghairah menonjolkan bakat dan kepimpinan masing-masing. Bertuah aku dapat bersama mereka walaupun dalam jangka waktu yang singkat. Mereka sanggup belajar walaupun menerima tekanan yang begitu berat bagi menjayakan sesuatu yang baru. Mereka dapat melakukan dengan baik sekali jika diberi peluang. Itu sebabnya kita mesti memberi kepercayaan kepada pegawai bawahan kita. Jangan sesekali memperkecilkan kewibawaan mereka.

Kini KK Kok Lanas berada ditempat yang sepatutnya. Orang sudah tidak pandang rendah lagi. Semuanya ini berkat kerjasama semua staf, bekerja tanpa jemu dan banyak kerenah, dan yang penting bekerja kerana ianya merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan pada kita. Bukan bekerja kerana ketuanya ada di pejabat, bukan bekerja kerana untuk dipuji, bukan bekerja kerana adanya habuan, bukan bekerja kerana orang lain.

Harapan ku, ingin melihat KK Kok Lanas terus berkembang pesat, terus maju ke hadapan, terus gah, dan mengeluarkan lulusan yang berkemahiran dan berkualiti. Stafnya juga harus terus berkembang, berkemahiran tinggi dan terus menyokong perubahan yang akan dilaksanakan oleh pengurusan baru. Teruskan perjuangan untuk maju ke hadapan.

KK Paya Besar akan cuba mengorak langkah. Memajukan dirinya untuk bersama mencipta nama. nama yang harum untuk dibanggakan oleh penghuninya.

Tuesday, 22 November 2011

Journey 6

23 Nov. 2011: Pagi ini, saya bersembang dengan dengan rakan baik saya. Rakan baik saya ini berurusan dengan satu jabatan kerajaan yang mengeluarkan lesen untuk beliau menjalankan satu aktiviti yang memberi banyak manafaat kepada rakyat jelata. Saya bersyukur mempunyai rakan baik sebegini yang sanggup bertungkus lumus merancangkan satu program sebegini.

Rungutan beliau kepada saya. Sudah dua minggu dia turun naik pejabat tersebut hanya untuk menguruskan lesen untuk menjalankan program yang beliau rancangkan. Setiap kali urusan dibuat ada saja yang tak kena, ada saja yang diperlukan. Kadang-kadang pegawai tidak ada pejabat. Kadang kala pegawai mesyuarat. kadang kala pegawai lewat masuk pejabat. Kalau sebelah pagi jam 9.30 pagi atau sebelah petang jam 2.30 ptg, belum tentu ada kata pejabat. Urusan yang sepatutnya diselesaikan dalam masa 2 jam memerlukan sekurang-kurang dua minggu untuk diselesaikan.

Mengapakah semuanya ini berlaku? Sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam, setiap hari kita bersembahyang, adakah ini yang disuruh oleh Islam? Di pejabat, kita gantung Kod nilai-nilai murni penjawat awam. Nampak gaya, nilai-nilai yang ditulis hanya sesuai berada dalam bentuk tulisan dan dibukukan tetapi tetapi tidak siapa yang amalkan atau ambil tahu.

Setiap minggu, tazkirah pagi dihadiri. Apa yang ditazkirahkan seperti masuk telinga kanan, keluar teliga kiri. Kesian kepada pemimpin kita, minta kita semua amalkan kerja yang cekap, berintergriti, tidak membuang masa, amanah dan pelbagai nilai-nilai.

Arwah ayah saya berpesan kepada saya; Jika hari ini kita menyusahkan orang sekali, suatu hari nanti orang lain akan menyusahkan kita 10 kali. Jika perkara itu tidak kena pada kita, mungkin ia akan berlaku kepada anak kita atau cucu cicit kita.

Pesannya lagi. setiap pagi sebelum keluar dari rumah untuk pergi bekerja, berniatlah dalam diri sendiri yang kita akan melaksanakan tugas yang terbaik untuk hari tersebut. Maka kerja yang kita lakukan akan menjadi berkat dan ia akan dianggap sebagai satu ibadah.

Friday, 11 November 2011

Journey 5:

11 Nov. 2011 - Hari yang bersejarah bagi semua. Tarikh yang dicari-cari untuk diabdikan dalam sejarah hidup mereka. Macam-macam aktiviti dilaksanakan pada tarikh tersebut.

Saya berkesempatan menghadiri satu majlis perkahwinan. Jurunikah mengingatkan kita semua tentang angka 11.11.11. Ini kerana kegilaan kita semua tentang angka tersebut. Pesan jurunikah,apa yang penting pada kita semua adalah iman yang ada dalam diri masing-masing. Tanpa iman yang teguh dan kukuh, kerukunan rumah tangga akan gagal. Satu lagi yang mengusarkan jurunikah tersebut ialah 90% dari muda mudi yang memasuki alam perkahwinan tidak melaksanakan ibadat solat. Solat itu tiang agama. Solat yang sempurna akan menjadi perisai kita dari kejahatan dan melakukan perkara yang mungkar.

Usah salahkan sesiapa dalam soalan ini. Masing perlu memainkan peranan yang telah diamanahkan kepada kita. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tugas kita memastikan anak-anak kita tidak meninggalkan sembahyang dan selalu berpesan tentang kepada mereka tentang tugas utama mereka untuk menunaikan sembahyang di mana sahaja kita berada waima di atas kapal terbang sekalipuan. Saya memuji syarikat penerbangan MAS, mereka menyediakan ruang, menentukan arah kiblat dan sejadah untuk kita mengerjakan solat. Sebagai anak-anak, anda berkewajipan dan amat dituntut untuk mengerjakan solat. Jika tidak tahu anda berkewajipan untuk belajar. Banyak cara untuk kita belajar. Di pasaran ada CD, ada DVD, ada kaset, ada buku dan macam-macam cara. Tiada alasan untuk kita katakan kita tak ada sumber.

Sebelah petangnya pula saya untuk menghadiri jamuan kerana meraikan perkahwinan yang di adakan sebelah pagi. Saya menjengah ke bahagian dapur majlis tersebut yang diadakan disebuah taman perumahan. Rupa-rupanya masih ada lagi konsep gotong royong dalam menyediakan jamuan. Saya rasa sungguh terharu melihat bagaimana semua tukang masak bekerjasama antara satu sama lain untuk menyediakan jaudah makanan tanpa dibayar upah. Saya berborak dengan salah seorang tukang masak tersebut. Sungguhnya kata beliau, konsep gotong royong ini perlu diterapkan dalam semua majlis perkahwinan. Ini memberi kepada masyarakat setempat mengenali lebih dekat jiran tetangga. Masyrakat hari ini sudah kebendaan. Nilai kemasyarakatan dan kesukarelawan sudah mulai pupus.

Siapa antara kita yang akan mengembalikan semangat gotong royong?

Wednesday, 9 November 2011

Journey 4:

10 Okt. 2011 - Jam 9.00 pagi, saya berkesempatan berdiskusi dengan seorang teman baru rakan lama yang pakar dalam bidang fotografi. Topik perbualan kami adalah mengenai kegusaran beliau mengenai generasi baru yang tidak memiliki aset kemahiran teknikal yang boleh mereka banggakan. Semua negara maju katanya memiliki modal insan berkemahiran teknikal yang tinggi. Kita di sini banyak bercerita pasal teori, banyak penyelidikan tidak digunakan sepenuhnya, terlalu banyak perancangan yang dibuat dengan penuh sistematik dan strategik namum pelaksanaannya tidak sepertimana yang dirancangkan. Kita di sini juga, banyak program ad-hoc, maka pelaksanaannya sekadar melepas batuk ditangga. Perlu diselesaikan segera.Hasil dan impak dari program tersebut tidak seberapa. 

Kadang kala tambah kawan saya itu, kita mempunyai modal insan yang berkemahiran tinggi tapi kemahiran softskillnya pula kurang. Maka modal insan kita masih belum layak di panggil modal insan kelas pertama.

Kawan saya menambah, untuk menjadikan modal insan kelas pertama, mereka perlu memiliki beberapa ciri tertentu, antaranya:-
  • Berpengetahuan dalam bidang yang diceburi 
  • Berkemahiran melaksanakan sesuatu tugas dengan berkesan
  • Utamakan keselamatan dalam apa jua yang dilakukan
  • Mempunyai etiket yang tinggi
  • Mempunyai kemahiran softskill
Marilah kita sama-sama fikirkan bersama pandangan rakan baru saya itu,
  1. Apakah peranan kita sebagai pendidik untuk melahirkan graduan yang berkualiti?
  2. Apakah peranan pelajar untuk menjadi graduan 

Journey 3:

9 Okt. 2011- Jam 3.30 ptg saya berkesempatan berjumpa dengan sekumpulan pelajar yang berminat dalam bidang fotografi. Mereka ini adalah merupakan kumpulan pertama yang kami pilih melalui satu tapisan yang agak ketat untuk mengikuti Program Perantisan Keusahawanan Fotografi. Kami menjemput 2 orang profesional di Kelantan dalam bidang fotografi untuk melatih mereka mendalami bidang fotografi.

Nasihat saya pada mereka, untuk menjadi usahawan yang berjaya kita perlu memiliki kemahiran dalam bidang usahawan yang bakal kita usahakan. Jika tidak besok kita akan menjadi usahawan pak kadok. Menang sorak kampung tergadai. Perasan telah berjaya tetapi rupanya jadi mangsa penipuan orang yang berjaya.

Nasihat saya lagi pada mereka, bila sudah miliki kemahiran yang tinggi, jangan lupa diri, bongkak dan angkuh. Sentiasa ingin asal usul kita dan sentiasa menjadi rasmi padi, makin tunduk, makin berisi.

Selanjutnya nasihat saya, walaupun kita hanya sekadar miliki sijil modul kolej komuniti, tetapi kita kemahiran yang kita ada merupakan aset yang tiada nilainya di dunia ini. Saya pernah menjadi panel temuduga untuk mengambil tenaga kerja untuk bertugas sebagai pensyarah di kolej komuniti dan politeknik. Tanya saya pada seorang calon yang  datang  dari sebuah universiti. Apakah aset yang ada pada saudara yang boleh ditawarkan kepada saya yang boleh membantu menghasilkan modal insan yang berkemahiran dan mampu membantu negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020? Jawab calon tersebut, saya mempunyai kemahiran menerangkan teori-teori yang diajarkan pada saya di bilik kuliah. Saya nyatakan kepada calon tersebut, saya memerlukan kemahiran melaksakna bukannya kemahiran menerang.

Untuk menjadi negara maju kita memerlukan seseorang mempunyai kemahiran melaksana di samping kemahiran menerang. Turn strategy into action. Adalah menjadi satu tanggungjawab pelajar kita hari ini, untuk bersaing diperingkat global, be sensitive to the change process. We cannot let ourself behind the global changes. We have to develop ourself or get left behind. Self development is about taking  responsibility for our learning. Always keep our skill relevant.

Pada penghujung pertemuan saya dengan pelajar saya, jangan sekali-kali malu bertanya pada apa yang kita was-was atau tidak tahu. Untuk mendapat ilmu dari Tok Guru, anak murid perlu sentiasa bertanya. Malu bertanya sesat jalan dan akhirnya kita menjadi bodoh sombong. Dari raut wajah 10 orang anak murid saya yang mengikuti program ini, mereka mempunyai masa depan yang cerah walaupun sekadar memiliki sijil dalam bidang fotografi.

     

Monday, 7 November 2011

Journey 2:

Program Kita Cakna: Keusahawanan dan Kerjaya

Tarikh Pelaksanaan: 24 hingga 26 Nov. 2011
Tempat: Perkarangan Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu Kelantan

Pengisian Aktiviti:

Pertandingan Akhir Cabaran Keusahawan Kolej Komuniti.

Sebanyak 23 buah kolej komuniti seluruh Malaysia akan menyertai pertandingan akhir Cabaran keusahawanan ini. Para peserta akan diminta menyediakan rancangan perniagaan dan membentangkannya dihadapan ahli panel yang dilantik oleh urusetia pada 24 Nov. 2011. Peserta dikehendaki menjalankan perniagaan berdasarkan kertas rancangan perniagaan pada 25 dan 26 Nov. 2011 dan akhirnya perlu menyediakan laporan kewangan setelah selesai menjalankan perniagaan. Pemenang akan menerima hadiah Piala Pusingan Menteri Pengajian Tinggi, wang Tunai RM 5 ribu dan lawatan sambil belajar ke China yang akan disampaikan pada 26 Nov. jam 8.30 malam.

Pertandingan Dikir Barat Keusahawanan

Sebanyak 20 pasukan dari IPTA, Kolej Komuniti dan Politeknik seluruh Malaysia akan menyertai pertandingan ini. Sepuloh pasukan akan mempersembahkan dikir mereka pada 24 Nov. manakala sepuloh lagi pada 26 Nov. Pemenang akan membawa pulang Piala Pusingan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti serta wang tunai.

Seminar Keusahawanan (25 dan 26 Nov. 2011)

Seramai 5 orang tokoh usahawan berjaya akan membentangkan kertas masing-masing pada seminar yang akan dihadiri oleh 180 orang pelajar Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Ia akan diadakanj pada 25 dan 26 Nov. 2011 di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu. 

Pameran kerjaya dan temuduga Terbuka

Sebanyak 100 industri akan membuat pameran dan menjalankan temuduga secara terbuka kepada pemengang sijil, diploma dan ijazah. Ia berlangsung pada 25 hingga 26 Nov. 2011.

Rakam Forum Islam dan Seloka Bersahut

Rakaman ini akan diadakan pada 25 Nov. 2011 di tapak pameran.

SEMUA DIJEMPUT HADIR DAN MASUK ADALAH PERCUMA

Sunday, 6 November 2011

malaysia-jerman-paris

:Journey 1

MALAYSIA-GERMAN-PARIS
(22 Okt. Hingga 31 Okt. 2011)

Kami dari Jabatan Pengajian Kolej Komuniti telah diberi peluang mengadakan lawatan penandaarasan ke German. Kami terdiri daripada En. Mohd Nasir bin Abd.Ghani (Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas), Tuan Haji Abdul Rahim bin Othman (Pengarah Kolej Komuniti Taiping) dan Tuan Haji Zairon bin Mustapha (Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas).Tujuan utama lawatan ini ialah untuk melihat, mempelajari serta mengkaji sistem latihan vokasional yang dilaksanakan di German.

JADUAL LAWATAN
22 Oktober 2011(Sabtu)

Kami bertolak dari KLIA jam 11.50 malam ke Lapangan Terbang Frankfurt. Tiba di Frankfurt pada 23 Oktober 2011 (Ahad),kami di sambut oleh wakil Al-Nour Consultancy Weilhem, Puan Leda Hernandez. Kami di bawa menginap di Hotel Best Western di Bandar Frankfurt. Puan Leda Hernandez telah memberi taklimat tentang lawatan yang akan dilangsungkan sepanjang tempoh lawatan berlangsung. Beliau telah menerangkan overview latihan pendidikan vokasional di German. Kami juga dibawa melawat sekitar bandar Frankfurt. Hari Ahad semua kedai dan pejabat sekitar bandar Frankfurt tutup. Jadi kami sekadar melihat kedai dari luar sahaja.

24 Oktober 2011 ( Isnin)
Jam 7.00 pagi kami bergegas ke stesen keretapi Frankfurt. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam dengan keretapi laju. Pengalaman pertama menaiki keretapi laju. Ketepatan masa merupakan agenda utama dalam sistem perjalanan keretapi. Untuk menjadi negara maju, ketepatan masa adalah merupakan kunci utama.



Lawatan ke sekolah vokasional (Berufschuler) Jakob-Preh Schule di Bed Neustad. Pengarah sekolah tersebut Mr. Kurt Hasfuter memberi taklimat berkaitan sistem persekolah yang dilaksanakan di sekolah tersebut. Sekolah tersebut terletak di kawasan perusahaan seperti syarikat Siemen. Latihan yang dilaksanakan di sekolah tersebut ialah bidang elektronik, mekatronik, metalwork dan ekonomi. Bilangan pelajar sekitar 650 pelajar. Peralatan sekolah terutamanya untuk bidang teknikal sebahagiannya di terima dari pihak industri dan sebahagian lagi di sediakan oleh bahagian pendidikan. Pembangunan kurikulum dilaksanakan bersama pihak industri. Pelajar daripada industri melaksanakan latihan sekolah tersebut (Dual Sistem). Kurikulum berbentuk student self learning. Pelajar menyelesaikan masalah pembelajaran secara individu dan berkumpulan. Pelajar juga diberi pendedahan tentang kemahiran sosial dan soft-skill. .

Kursus Mekatronik. (Contoh bagi pelajar dari industri)
04.10.2011 hingga 14.10.2011     -          2 minggu
12.12.2011 hingga 23.12.2011     -          2 minggu
23.01.2012 hingga 03.02.2012     -           2 minggu
12.03.20112 hingga 16.03.2012   -           1 minggu
14.05.2012 hingga 25.05. 2012    -          2 minggu
11.06.2012 hingga 15.06.2012     -          1 minggu
16.07.2012 hingga 27.07.2012      -          2 minggu

Pelajar di anugerahkan sijil oleh pihak sekolah dan pihak Chamber. Aktiviti sekolah digerakkan oleh pihak berkuasa tempatan. Gaji guru dibayar oleh kerajaan.

Lewat petang kami ke hotel penginapan di Ibis Hotel, Munich. Tram bersimpang siur dalam bandar Munich tapi tidak berlaku kemalangan. Landasannya tidak berpagar. Tram juga menghormati traffic light. Berhenti dipersimpangan. Sistem trafiknya berjalan lancar. Masing-masing hormat menghormati satu sama lain.

25 Oktober 2011 (Selasa)

Lawatan ke Sekolah Vokasional Robert Bosch. Pengarah sekolah tersebut  telah memberi taklimat tentang pelaksanaan latihan di sekolah  tersebut. Antaranya ialah Role of RBS, Training Approach dan Cooperation with private sector.Projek pelajar dihasilkan bersama syarikat.Hasil projek dibentangkan kepada pihak sekolah dan syarikat. Pelajar turut menyertai pertandingan peringkat sekolah dan negeri. Sijil di anugerah oleh tiga badan: sekolah, pihak syarikat dan chamber. Pelajar-pelajar boleh melanjutkan pelajaran di university of applied science.Terdapat 3 jenis kumpulan pelajar ia-itu akademik sehingga A level, master craftman dan technician.( ketiga-tiga mod ini di beri peluang untuk melanjutkan pelajaran ke university of applied science ). Kami turut dibawa melawat ke bengkel dan makmal sekolah tersebut.



3.00 petang – Lawatan ke Parlimen Bavaria, bertemu Prof. Dr. Barfuz ahli kongres pendidikan ( Bayerischer Landtag). Perbincangan berkaitan sistem pendidikan vokasional di German dan perancangan lawatan Daerah Lauingen. Banyak yang dapat kami pelajari dari beliau.

Perbincangan dengan Ahli Kongres Munich dan rakan-rakan
di salah sebuah restoran di bandar Munich.

26 Oktober 2011 (Rabu)
Lawatan ke IHK Munich Chamber. Taklimat disampaikan oleh Josef Hans Rauch dari Industrie und Handelkammer fur. Taklimat berkaitan latihan keusahawan, eksekutif dan specialists.(Further Trainning). Bahagian ini turut mengendalikan latihan seperti professional dan latihan dalam perkhidmatan. Selain itu ia juga melaksanakan on-line training serta in-house training yang diperlukan oleh syarikat. Cadangan bagi Kolej Komuniti mewujudkan bahagian latihan untuk menjalankan kursus-kursus teknikal dan on-job training bagi pensyarah. Menyediakan 200 bidang latihan di namakan sebagai further training. Daripada latihan vokasional mereka boleh memperolehi meister (bachelor professional) dalam tempoh 7 bulan. Mereka boleh menyambung ke peringkat Technischer Betriebswirt (Master professional) dalam tempoh 8 bulan sepenuh masa. Semua di taja oleh syarikat.

Taklimat kedua disampaikan oleh Mrs Birgit Heiss dari Chamber of Commerce. Keseluruhan pelajar teknikal di Germany ialah lebih kurang 2 juta. Selain itu German mempunyai 1.6 juta aperantis. Badan yang mengendalikan latihan vokasional di namakan sebagai BIBB ( Federal Institute of Vocational Training).Mempunyai 80 pusat chambers of commerce di seluruh German dan mempunyai 16 kumpulan kerja yang terdiri dari pelbagai bidang. Kumpulan kerja (working group) terdiri daripada ahli chambers dikalangan sekolah,syarikat dan union(employee association). Terdapat 367 ribu buah syarikat yang terlibat dalam dual system di German.( Besar,sederhana dan kecil ). Menggunakan akta Special Vocational Training Act. Melaksanakan 3 tahun kontrak skim latihan aparentis antara sekolah dan syarikat. Hasil latihan terdapat 70 peratus daripada aparentis bekerja dengan syarikat tersebut. Kaedah latihan adala percuma seperti termaktub dalam akta.

27 Oktober 2011 (Khamis)

Lawatan ke sekolah vokasional  Staatliche D’Lauingen.Taklimat di sampaikan oleh Pengarah Mr. Werner J. Wittmann. Mempunyai sejumlah 2300 pelajar. Bidang latihan ialah elektikal, environtel protection(sewage system), building dan food technology.43 peratus pelajar melanjutkan pelajaran ke university of aaplied science. Terdapat 33 peratus pelajar sepenuh masa (38 minggu di sekolah, selebihnya di industry), 64 peratus ialah pelajar separuh masa (12 minggu dalam setahun belajar di sekolah, selebihnya bekerja di syarikat).
       
Sebelah petang kami sempat melawat mazium BMW dan juga gelanggang Olimpik Munich 1972.

                                      
28 Oktober 2011 (Jumaat)
Lawatan ke Same Deutz-Fahr Deutchland GmnH. Taklimat di sampaikan oleh Leonhard Schuster – Managing Director, Finance,Human Resources, IT. Syarikat pengeluaran jentera pertanian (tractor berjenama Lamborgini ). Syarikat eksport traktor pertanian antarabangsa ini telah melaksanakan latihan aparentis untuk 32 pelajar dalam bidang elektrikal, mekanikal dan kejuruteraan pertanian. Sasaran ialah untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran tinggi bagi tujuan projek jangka panjang syarikat.

Keistimewaan syarikat ini ialah menyediakan seorang jurulatih sepenuh  masa bagi tujuan membimbing pelatih. Latihan selama 3 tahun, 2 tahun di bahagian mekanikal pembuatan dan mesin CNC (training workshop), selebihnya  pelatih ditempatkan di bahagian kawalan mutu, di bahagian akaun dan bahagian logistic ( production and sale ). Di samping itu pelatih perlu berada di sekolah vokasional selama seminggu bagi setiap bulan (system Dual).

Pelatih di kehendaki secara berkumpulan membentangkan hasil projek sebanyak 3 kali setahun kepada pihak syarikat, dan dihadiri oleh 400 kakitangan syarikat. Antara projek yang dihasilkan oleh pelatih yang di gunakan oleh syarikat ialah work safety yang menggunakan hand made play card.
Pada sebelah petang kami dikejutkan dengan berita pekerja Air France melancarkan mogok. Banyak penerbangan telah dibatalkan. Kami bergegas ke airport untuk membuat tempahan baru. Kami bernasib baik kerana masih ada kekosongan seat untuk penerbangan ke Paris keesokan harinya.

29 Okt. 2011 (Sabtu)

Awal pagi, jam 4.00, bagi ke Munich Airport. Kami bersyukur kerana di Munich Airport di sediakan surau untuk memudahkan kami mengerjakan solat subuh. Penerbangan kami ke Paris berjalan lancar tanpa apa-apa kesulitan walaupun terpaksa beratur panjang semasa check-in.

Pengalaman di Paris banyak mengajar kami erti komunikasi. Tanpa komunikasi yang baik, kami akan bergerak dalam kegelapan dalam cahaya yang terang. Malu bertanya sesat jalan. Manusia berjalan mencari arah masing-masing. Semuanya pelancong luar. Arah tuju dan panduan yang ditanya hanya pada orang yang tepat. Kota pelancongan.

Kami sempat melawat beberapa tempat menarik yang menjadi tumpuan ramai. Kami lihat masing-masing cuba dapatkan posing yang terbaik untuk dijadikan kenangan bila pulang ke negeri masing-masing.

30 Oktober 2011 (Ahad)

Jam 12.30 tgh, kami meninggalkan kota Paris dan benua Eropah dengan penuh kenangan dan pengalaman baru yang bakal kami kongsikan bersama dengan rakan kami di kolej komuniti.



APA YANG BOLEH KITA PELAJARI BERSAMA.
  1. Bebanan tugas melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi bukan sahaja terletak di bahu pusat latihan kemahiran semata-mata. Penglibatan syarikat/industri dalam menjayakan program latihan kemahiran amat perlu dilaksanakan secara bersama. Satu akta latihanadalah perlu untuk menjamin penglibatan pihak swasta dalam menjayakan program ini. German berjaya melahirkan ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal kerana adanya akta yang memaksa penglibatan pihak swasta.
  2. Satu badan atau majlis bersama yang berfungsi untuk merangka kurikulum, membuat penilaian dan pengiktirafan perlu diwujudkan. Keanggotaannya terdiri dari pihak industri dan pusat latihan kemahiran. 
  3. Pelajar lulusan sijil kemahiran berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran sehingga keperingkat ijazah lanjutan kemahiran.
  4. Disiplin dan kerjasama adalah merupakan antara kunci utama untuk menjadi negara maju.
  5. Komunikasi amat penting bagi menjamin kita tidak melaksanakan satu tugas dengan lancar dan berkesan. 

KESIMPULAN
Lawatan ini sangat berfaedah bagi meningkatkan lagi program latihan kemahiran di kolej komuniti seluruh Malaysia. Program lawatan seperti ini perlu dilaksanakan  secara berterusan bagi tujuan pendedahan tentang corak latihan kemahiran yang dilaksanakan di negara maju.