nuffnang

Monday, 7 May 2012

Journey 9:
8 Mei 2012, Paya Besar, Pahang.

Lama tidak menulis, hari ini ada sedikit kelapangan dan berpeluang untuk berkongsi kemahiran dan pengalaman dengan pembaca. Mana yang baik bolehlah dijadikan sebagai panduan dan digunakan dalam kerja kita sebagai pemimpin.
TIP MENJADI PEMIMPIN YANG EFEKTIF DAN UNGGUL

Banyak tip yang diberikan oleh bijak pandai bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang efektif dan unggul.  Sebagai pemimpin sesebuah organisasi terdapat beberapa kemahiran yang diperlukan, antaranya “Lead, Influence, Transform, Change, Motivate”. Melalui pembacaan dan sedikit pengalaman menjadi seorang pemimpin kecil, di bawah penulis menggariskan sepuloh aspek yang amat penting yang boleh dijadikan panduan untuk membangun keberanian dan keyakinan diri yang boleh diamalkan di tempat.

1)      Perjelaskan visi, misi dan pelan tindakan strategik organisasi yang diterajui. Semua perancangan dilakukan dengan teliti, bijak, fleksibel, berasas dan memahami keperluan semasa bagi membantu kejayaan apa yang dilakukan. Ini kerana setiap anggota memerlukan pemahaman yang jelas mengenai hala tuju organisasi yang boleh menjamin dan memberikan manafaat kepada mereka bukan sekadar manafaat kepada organisasi.

2)      Buatlah orang lain merasa diri mereka penting, tanpa perlu diampu dan disogok dengan wang ringgit. Jangan terlalu menggunakan kuasa veto untuk membuat sebarang keputusan tanpa mengambil kira pendapat yang lain. Jadi, beri perhatian kepada kemampuan dan penglibatan setiap anggota semasa membuat sebarang keputusan.

3)      Bersikap baik dengan orang-orang disekeliling seperti mana layanan baik yang diberikan kepada anda sebagai pemimpin. Sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan anggota. Hormat menghormati dan saling tolong menolong antara satu sama lain. Usah berbangga dan angkuh dengan kuasa yang sementara yang dipinjamkan kepada kita. Entah esok atau lusa, kuasa itu sudah menjadi milik orang lain. Sentiasa bersedia dan menerima teguran dari orang lain serta jangan cepat melenting dengan teguran yang diterima. Listen attentively with an open mind. Empathy, respect, concern for our clients

4)      Sentiasa berhati-hati ketika membuat kritikan. Memberikan pujian sekiranya kakitangan melakukan tugas dengan cekap. Pujian dan penghargaan yang diberikan terutama di hadapan kakitangan yang lain akan membuatkan orang yang dipuji menjadi bangga dan rasa dihargai. Sebaliknya elakkan membuat kritikan dikhalayak ramai yang boleh menjatuhkan maruah kakitangan. Kalau perlu, tegur dengan cara yang baik. Make things easy for our clients; Same, consistent, fair treatment to all

5)      Rapat dan mesra dengan kakitangan. Pemimpin yang baik ialah mengasihi dan mengambil berat soal kebajikan orang yang dipimpin, menyediakan keadaan selamat, selesa dan sentiasa mengutamakan kepentingan kakitangannya berbanding kepentingan peribadi. Pemimpin perlu turun padang untuk melihat dan mendengar segala masalah yang melibatkan pengurusan. Dengan cara ini, pemimpin dapat memperoleh maklumat yang sebenar tanpa adanya penipuan dan penyelewengan. Friendly service with smile.

6)      Mewujudkan suasana yang kompetitif di kalangan kakitangan. Beri penghargaan kepada kakitangan yang memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Ini akan menyebabkan kakitangan yang lain akan turut sama untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti untuk organisasi.

7)      Pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana ia bersifat kezaliman lidah yang melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran. Sesiapa yang berjanji sedangkan mengetahui tidak mampu melaksanakan apa yang dijanjikan itu adalah seburuk-buruk sifat pemimpin. Mereka melakukan sifat orang munafik yang berpura-pura baik sedangkan dalam hatinya tersimpan niat jahat.

8)      Sanggup menerima kritikan. Satu sifat mulia yang perlu dimiliki setiap pemimpin ialah sanggup menerima kritikan daripada orang bawahan.Jangan cepat melenting dan bersangka buruk terhadap pegawai yang membuat kritikan. Kritikan merupakan satu cara untuk memperbaiki keburukan yang dilakukan oleh pemimpin. Complaint are valuable feedbacks for further improvement. Sebenarnya, pemimpin juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.Kedudukan pemimpin amat penting sebagai tunjang kekuatan kepada organisasi atau negara. Tanpa pemimpin yang berhemah, berwibawa dan berwawasan akan mengakibatkan organisasi tidak mampu berkembang dan tidak mendatangkan kebiakan kepada ahli-ahlinya.
9)     Mengelak dari sikap mementingkan kroni. Pemimpin yang baik juga perlu mengelak diri daripada mengamalkan sikap mementingkan kroni. Sepatutnya semua orang bawahan mesti dilayan sama rata. Tidak ada istilah” ini orang kuat saya” atau “ini orang saya”. Tidak ada golongan yang mendapat keistimewaan atau diberi keutamaan untuk mendapat sesuatu yang bukan haknya. Dalam hal ini, pemimpin tawaduk tidak runsing hilang sokongan disebabkan tidak memberi layanan istimewa kepada penyokong setia. Pemimpin mengamalkan kroni biasanya tidak mempunyai kekuatan sendiri. Jadi terpaksalah memberi keistimewaan kepada kroninya agar dia terus mendapat sokongan.

10)    Berkepentingan diri: Insan yang bergelar pemimpin tidak seharusnya menjadikan matlamat diri sendiri sebagai agenda perjuangan. Mengejar pangkat, darjat, wang ringgit atau nama. Sebenarnya, jawatan yang disandang adalah satu bebanan amanah berat yang perlu dilaksanakan. Pemimpin unggul meletakkan dirinya sebagai hamba kepada orang yang dipimpin. Sebab itu pemimpin perlu memberi sepenuh tumpuan dan tenaga untuk berkhidmat. Lakukan tugas dengan penuh keikhlasan dan penuh tanggungjawab demi agama, bangsa dan tanah air.

Tuesday, 13 March 2012

Journey 8:
5 Mac 2012 - Saya bersama 25 orang pelajar dan 15 orang staf Kolej Komuniti Paya Besar berpeluang ke Royal Belum bagi menyertai Program Menyelami Khazanah Royal Belum. Program ini dianjurkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak dengan kerjasama Kolej Komuniti Paya Besar.

Melalui program ini, peserta telah dibawa melihat keindahan Royal Belum yang hutannya adalah merupakan hutan yang tertua di dunia. Setiap peserta program diberi peluang merakamkan keindahan alam tersebut dengan kamera masing-masing. Melalui program ini, peserta diterapkan nilai-nilai mencintai alam sekitar kerana alam yang kita diami hari ini merupakan anugerah Tuhan yang tiada nilai harganya. Udara, hutan, air, dan segala yang ada hari ini dipinjamkan kepada kita oleh generasi akan datang. Oleh itu, kita sebagai peminjam perlu menjaganya dengan penuh keinsafan dan hargailah khazanah tersebut.

Selama 3 hari 2 malam kami menyelami khazanah ciptaan Allah. Terasa begitu indah sekali. Udaranya bersih, airnya jernih tanpa kelodak, jauh dari kebisingan, kedamaian dari gangguan deringan talipon, dan malamnya diulik bunyi unggas.

Siangnya kami meredah hutan, pacat menjalar mencari darah orang kota yang penuh dengan toksik. Kami derma darah kepada pacat-pacat tersebut. Rasanya biala keluar dari hutan, darah yang kotor telah dicuci oleh pacat-pacat tersebut. Di penghujung perjalanan kami jumpa air terjun, sejuk dan nyaman sekali. Sesekali kami dapat bermain dengan ikan-ikan yang jinak. Kami jumpa ikan kelah, ikan sebarau dan beberapa spesies ikan yang lain. Kami suap ikan-ikan tersebut dengan makanan yang kami bawa. Satu pengalaman baru bagi kami.

Kami menyusur tasik, melihat burung bertenggek di dahan, terbang bebas tanpa rasa takut atau terpenjara dalam sangkar emas.

Petangnya kami berakit buluh, menimba satu pengalaman bagaimana mengawal rakit agar bergerak ke hadapan dengan hanya menggunakan pendayung buluh. Mengajar kami erti kerjasama dan semangat berpasukan. Mengajar kami erti kepayahan dan ketabahan.

Kami juga berpeluang  melawat rakan lama kami - kaum peribumi yang masih mengamalkan cara hidup tradisi walaupun sudah ada pengaruh kemodenan. Bila lensa kamera menghala ke arah mereka, mereka memberi posing yang setanding dengan model-model terkenal di dunia. Mengingatkan kami pada zaman muda-muda dulu.

Sesungguhnya pengalaman Royal Belum tiada ternilai harganya. Terima kasih kepada Dato Karim dan pegawai-pegawai Royal Belum yang melayan kerenah kami selama kami di Royal Belum. Budi baik kami kenang sampai bila-bila. Gambar-gambar yang dirakamkan menjadi tanda yang kami pernah menyelami khazanah Royal Belum. Satu nama yang menjadi kebanggaan kita semua dan menjadi warisan kita semua.

Wednesday, 28 December 2011

Journey 7:

28 Disember 2011, Kok Lanas - Hari ini adalah merupakan hari terakhir aku berada di Kolej Komuniti Kok Lanas. Banyak kenangan selama 8 bulan aku berada di sini.

Di tukarkan dari Kolej Komuniti Gerik pada bulan April 2011. Lima tahun aku di sana. Tempatnya aman dan nyaman. Udaranya bersih, sesekali orang Gerik kirimkan kepada aku ikan kelah, daging rusa, daging kijang dan bermacam buah-buah tempatan. Masyarakatnya hidup dalam penuh hormat menghormati. Sesungguhnya Royal Belum sentiasa berada dekat dihatiku.

Kini aku berhijrah lagi. Tanggal 16 Disember, aku ditukarkan ke Kolej Komuniti Paya Besar. Lapan bulan aku di KK Kok Lanas, jarum jam begitu pantas berpusing. Belum puas rasanya aku berada di KK Kok Lanas. Satu yang pasti, aku dapati staf disini begitu bersemangat untuk berubah. Masing-masing begitu ghairah menonjolkan bakat dan kepimpinan masing-masing. Bertuah aku dapat bersama mereka walaupun dalam jangka waktu yang singkat. Mereka sanggup belajar walaupun menerima tekanan yang begitu berat bagi menjayakan sesuatu yang baru. Mereka dapat melakukan dengan baik sekali jika diberi peluang. Itu sebabnya kita mesti memberi kepercayaan kepada pegawai bawahan kita. Jangan sesekali memperkecilkan kewibawaan mereka.

Kini KK Kok Lanas berada ditempat yang sepatutnya. Orang sudah tidak pandang rendah lagi. Semuanya ini berkat kerjasama semua staf, bekerja tanpa jemu dan banyak kerenah, dan yang penting bekerja kerana ianya merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan pada kita. Bukan bekerja kerana ketuanya ada di pejabat, bukan bekerja kerana untuk dipuji, bukan bekerja kerana adanya habuan, bukan bekerja kerana orang lain.

Harapan ku, ingin melihat KK Kok Lanas terus berkembang pesat, terus maju ke hadapan, terus gah, dan mengeluarkan lulusan yang berkemahiran dan berkualiti. Stafnya juga harus terus berkembang, berkemahiran tinggi dan terus menyokong perubahan yang akan dilaksanakan oleh pengurusan baru. Teruskan perjuangan untuk maju ke hadapan.

KK Paya Besar akan cuba mengorak langkah. Memajukan dirinya untuk bersama mencipta nama. nama yang harum untuk dibanggakan oleh penghuninya.

Tuesday, 22 November 2011

Journey 6

23 Nov. 2011: Pagi ini, saya bersembang dengan dengan rakan baik saya. Rakan baik saya ini berurusan dengan satu jabatan kerajaan yang mengeluarkan lesen untuk beliau menjalankan satu aktiviti yang memberi banyak manafaat kepada rakyat jelata. Saya bersyukur mempunyai rakan baik sebegini yang sanggup bertungkus lumus merancangkan satu program sebegini.

Rungutan beliau kepada saya. Sudah dua minggu dia turun naik pejabat tersebut hanya untuk menguruskan lesen untuk menjalankan program yang beliau rancangkan. Setiap kali urusan dibuat ada saja yang tak kena, ada saja yang diperlukan. Kadang-kadang pegawai tidak ada pejabat. Kadang kala pegawai mesyuarat. kadang kala pegawai lewat masuk pejabat. Kalau sebelah pagi jam 9.30 pagi atau sebelah petang jam 2.30 ptg, belum tentu ada kata pejabat. Urusan yang sepatutnya diselesaikan dalam masa 2 jam memerlukan sekurang-kurang dua minggu untuk diselesaikan.

Mengapakah semuanya ini berlaku? Sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam, setiap hari kita bersembahyang, adakah ini yang disuruh oleh Islam? Di pejabat, kita gantung Kod nilai-nilai murni penjawat awam. Nampak gaya, nilai-nilai yang ditulis hanya sesuai berada dalam bentuk tulisan dan dibukukan tetapi tetapi tidak siapa yang amalkan atau ambil tahu.

Setiap minggu, tazkirah pagi dihadiri. Apa yang ditazkirahkan seperti masuk telinga kanan, keluar teliga kiri. Kesian kepada pemimpin kita, minta kita semua amalkan kerja yang cekap, berintergriti, tidak membuang masa, amanah dan pelbagai nilai-nilai.

Arwah ayah saya berpesan kepada saya; Jika hari ini kita menyusahkan orang sekali, suatu hari nanti orang lain akan menyusahkan kita 10 kali. Jika perkara itu tidak kena pada kita, mungkin ia akan berlaku kepada anak kita atau cucu cicit kita.

Pesannya lagi. setiap pagi sebelum keluar dari rumah untuk pergi bekerja, berniatlah dalam diri sendiri yang kita akan melaksanakan tugas yang terbaik untuk hari tersebut. Maka kerja yang kita lakukan akan menjadi berkat dan ia akan dianggap sebagai satu ibadah.

Friday, 11 November 2011

Journey 5:

11 Nov. 2011 - Hari yang bersejarah bagi semua. Tarikh yang dicari-cari untuk diabdikan dalam sejarah hidup mereka. Macam-macam aktiviti dilaksanakan pada tarikh tersebut.

Saya berkesempatan menghadiri satu majlis perkahwinan. Jurunikah mengingatkan kita semua tentang angka 11.11.11. Ini kerana kegilaan kita semua tentang angka tersebut. Pesan jurunikah,apa yang penting pada kita semua adalah iman yang ada dalam diri masing-masing. Tanpa iman yang teguh dan kukuh, kerukunan rumah tangga akan gagal. Satu lagi yang mengusarkan jurunikah tersebut ialah 90% dari muda mudi yang memasuki alam perkahwinan tidak melaksanakan ibadat solat. Solat itu tiang agama. Solat yang sempurna akan menjadi perisai kita dari kejahatan dan melakukan perkara yang mungkar.

Usah salahkan sesiapa dalam soalan ini. Masing perlu memainkan peranan yang telah diamanahkan kepada kita. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tugas kita memastikan anak-anak kita tidak meninggalkan sembahyang dan selalu berpesan tentang kepada mereka tentang tugas utama mereka untuk menunaikan sembahyang di mana sahaja kita berada waima di atas kapal terbang sekalipuan. Saya memuji syarikat penerbangan MAS, mereka menyediakan ruang, menentukan arah kiblat dan sejadah untuk kita mengerjakan solat. Sebagai anak-anak, anda berkewajipan dan amat dituntut untuk mengerjakan solat. Jika tidak tahu anda berkewajipan untuk belajar. Banyak cara untuk kita belajar. Di pasaran ada CD, ada DVD, ada kaset, ada buku dan macam-macam cara. Tiada alasan untuk kita katakan kita tak ada sumber.

Sebelah petangnya pula saya untuk menghadiri jamuan kerana meraikan perkahwinan yang di adakan sebelah pagi. Saya menjengah ke bahagian dapur majlis tersebut yang diadakan disebuah taman perumahan. Rupa-rupanya masih ada lagi konsep gotong royong dalam menyediakan jamuan. Saya rasa sungguh terharu melihat bagaimana semua tukang masak bekerjasama antara satu sama lain untuk menyediakan jaudah makanan tanpa dibayar upah. Saya berborak dengan salah seorang tukang masak tersebut. Sungguhnya kata beliau, konsep gotong royong ini perlu diterapkan dalam semua majlis perkahwinan. Ini memberi kepada masyarakat setempat mengenali lebih dekat jiran tetangga. Masyrakat hari ini sudah kebendaan. Nilai kemasyarakatan dan kesukarelawan sudah mulai pupus.

Siapa antara kita yang akan mengembalikan semangat gotong royong?

Wednesday, 9 November 2011

Journey 4:

10 Okt. 2011 - Jam 9.00 pagi, saya berkesempatan berdiskusi dengan seorang teman baru rakan lama yang pakar dalam bidang fotografi. Topik perbualan kami adalah mengenai kegusaran beliau mengenai generasi baru yang tidak memiliki aset kemahiran teknikal yang boleh mereka banggakan. Semua negara maju katanya memiliki modal insan berkemahiran teknikal yang tinggi. Kita di sini banyak bercerita pasal teori, banyak penyelidikan tidak digunakan sepenuhnya, terlalu banyak perancangan yang dibuat dengan penuh sistematik dan strategik namum pelaksanaannya tidak sepertimana yang dirancangkan. Kita di sini juga, banyak program ad-hoc, maka pelaksanaannya sekadar melepas batuk ditangga. Perlu diselesaikan segera.Hasil dan impak dari program tersebut tidak seberapa. 

Kadang kala tambah kawan saya itu, kita mempunyai modal insan yang berkemahiran tinggi tapi kemahiran softskillnya pula kurang. Maka modal insan kita masih belum layak di panggil modal insan kelas pertama.

Kawan saya menambah, untuk menjadikan modal insan kelas pertama, mereka perlu memiliki beberapa ciri tertentu, antaranya:-
  • Berpengetahuan dalam bidang yang diceburi 
  • Berkemahiran melaksanakan sesuatu tugas dengan berkesan
  • Utamakan keselamatan dalam apa jua yang dilakukan
  • Mempunyai etiket yang tinggi
  • Mempunyai kemahiran softskill
Marilah kita sama-sama fikirkan bersama pandangan rakan baru saya itu,
  1. Apakah peranan kita sebagai pendidik untuk melahirkan graduan yang berkualiti?
  2. Apakah peranan pelajar untuk menjadi graduan 

Journey 3:

9 Okt. 2011- Jam 3.30 ptg saya berkesempatan berjumpa dengan sekumpulan pelajar yang berminat dalam bidang fotografi. Mereka ini adalah merupakan kumpulan pertama yang kami pilih melalui satu tapisan yang agak ketat untuk mengikuti Program Perantisan Keusahawanan Fotografi. Kami menjemput 2 orang profesional di Kelantan dalam bidang fotografi untuk melatih mereka mendalami bidang fotografi.

Nasihat saya pada mereka, untuk menjadi usahawan yang berjaya kita perlu memiliki kemahiran dalam bidang usahawan yang bakal kita usahakan. Jika tidak besok kita akan menjadi usahawan pak kadok. Menang sorak kampung tergadai. Perasan telah berjaya tetapi rupanya jadi mangsa penipuan orang yang berjaya.

Nasihat saya lagi pada mereka, bila sudah miliki kemahiran yang tinggi, jangan lupa diri, bongkak dan angkuh. Sentiasa ingin asal usul kita dan sentiasa menjadi rasmi padi, makin tunduk, makin berisi.

Selanjutnya nasihat saya, walaupun kita hanya sekadar miliki sijil modul kolej komuniti, tetapi kita kemahiran yang kita ada merupakan aset yang tiada nilainya di dunia ini. Saya pernah menjadi panel temuduga untuk mengambil tenaga kerja untuk bertugas sebagai pensyarah di kolej komuniti dan politeknik. Tanya saya pada seorang calon yang  datang  dari sebuah universiti. Apakah aset yang ada pada saudara yang boleh ditawarkan kepada saya yang boleh membantu menghasilkan modal insan yang berkemahiran dan mampu membantu negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020? Jawab calon tersebut, saya mempunyai kemahiran menerangkan teori-teori yang diajarkan pada saya di bilik kuliah. Saya nyatakan kepada calon tersebut, saya memerlukan kemahiran melaksakna bukannya kemahiran menerang.

Untuk menjadi negara maju kita memerlukan seseorang mempunyai kemahiran melaksana di samping kemahiran menerang. Turn strategy into action. Adalah menjadi satu tanggungjawab pelajar kita hari ini, untuk bersaing diperingkat global, be sensitive to the change process. We cannot let ourself behind the global changes. We have to develop ourself or get left behind. Self development is about taking  responsibility for our learning. Always keep our skill relevant.

Pada penghujung pertemuan saya dengan pelajar saya, jangan sekali-kali malu bertanya pada apa yang kita was-was atau tidak tahu. Untuk mendapat ilmu dari Tok Guru, anak murid perlu sentiasa bertanya. Malu bertanya sesat jalan dan akhirnya kita menjadi bodoh sombong. Dari raut wajah 10 orang anak murid saya yang mengikuti program ini, mereka mempunyai masa depan yang cerah walaupun sekadar memiliki sijil dalam bidang fotografi.